Tuesday 12 March 2013

Alat perkusi bagi murid pra sekolah

1.0 PENGENALAN. Sejarah mengenai alat-alat perkusi telah lama wujud. Manusia zaman dahulu mengetuk dinding-dinding gua, bongkah-bongkah batu dan kayu berongga secara tidak sengaja dan hasil bunyi dari ketukan dijadikan sebagai isyarat atau suatu bentuk komunikasi bagi maksud tertentu. Cara ketukan atau pola irama yang dimainkan juga digunakan bagi sesuatu upacara adat kelompok kaum berkenaan. Lama kelamaan ianya menjadi tradisi dan kebiasaan sebagai satu bentuk kesenian dan kekal sebagai adat dan seni budaya suku kaum tersebut. Permainan muzik perkusi adalah asas kepada permainan muzik yang lebih besar seperti orkestra . Permainan perkusi memerlukan disiplin yang tinggi semasa persembahan atau semasa latihan. Tanpa disiplin yang tinggi persembahan tidak mungkin berjaya.Bentuk persembahan menyerupai sebuah orkestra sebenar. Pemain berbaris mengikut kumpulan alat. Seorang konduktor akan mengawal persembahan. Seorang pengiring (biasanya guru muzik) akan memainkan melodi dengan piano atau satu instrumen @ menggunakan rakaman audio. Permainan perkusi dimainkan mengikut disiplin orkestra. Setiap alat dikumpulkan dalam satu kumpulan dan akan bermain serentak. Bagi tahap 2 KBSR melodian akan dimainkan oleh beberapa murid. Pemain akan bermain mengikut skor muzik yang telah disediakan. Setiap alat perkusi perlu dimainkan mengikut teknik yang betul agar menghasilkan bunyi yang estetik. Murid diasuh untuk mengamalkan teknik yang betul memainkan sesuatu alat perkusi. Bagi mencapai tujuan itu, guru perlu menunjukkan cara memegang dan memainkannya mengikut teknik yang standard agar murid dapat membina biasaan yang baik dari awal lagi. Kanak-kanak mempunyai keinginan untuk bermain alat muzik melebihi keinginan untuk belajar muzik. Guru yang akan mengubah keinginan ini agar murid-murid dapat belajar muzik dalam erti kata sebenarnya. 1.1 OBJEKTIF DIPERKENALKAN ALAT MUZIK PERKUSI BAGI PRASEKOLAH. Terdapat beberapa objektif di sebalik pengenalan alat muzik perkusi bagi prasekolah. Objektif yang pertama adalah untuk membolehkan seseorang kanak-kanak itu memperolehi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam penggunaan alat muzik perkusi. Objektif yang kedua pula adalah bagi membolehkan kanak-kanak melahirkan perasaan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Objektif yang seterusnya pula adalah untuk membina koordinasi gerakan anggota badan kanak-kanak. Selain itu, penggunaan alat muzik perkusi dapat menguatkan daya konsentrasi dan ingatan kanak-kanak. Seterusnya, objektif diperkenalkan alat muzik perkusi bagi prasekolah adalah untuk membina semangat kerjasama, bertolak ansur, berdisplin arahan, menjaga dan menepati masa, serta bertanggungjawab terhadap alat muzik di kalangan kanak-kanak. selain itu juga, melalui penggunaan alat muzik perkusi kanak-kanak dapat bertindak balas secara individu atau kumpulan terhadap muzik. Di samping itu juga, dengan pengenalan alat muzik perkusi ianya dapat melahirkan idea-idea yang kreatif dalam pelbagai ‘mood’ semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak turut dapat bergembira dengan kegiatan muzik yang diperkenalkan oleh guru. Selain itu juga, dengan memperkenalkan alat muzik perkusi di prasekolah ianya diharap dapat mengisi masa lapang kanak-kanak secara teratur dan berfaedah. Objektif yang terakhir adalah alat muzik perkusi turut menggunakan bahan buangan untuk kegiatan muzik yang diamalkan. Perkara ini secara jelas dapat dilihat dapat memelihara budaya dan muzik muzik bangsa. Dalam permainan alat perkusi juga, murid-murid diberikan peluang belajar membaca skor perkusi yang terancang. Mereka dapat belajar beberapa perkara seperti menunggu giliran mengikut skor, menyebut menepuk dan mengetuk bersama-sama, memainkan alat dan berhenti mengikut arahan, mula dan berhenti bersama-sama mengikut skor muzik serta dapat merasai situasi bermain seperti sebuah orkestra yang penuh dengan peraturan dan disiplin. 1.2 MATLAMAT DIPERKENALKAN ALAT MUZIK PERKUSI BAGI PRASEKOLAH. Permainan perkusi pastinya menjadi aktiviti yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar. Ia merupakan masa yang membolehkan pelajar meluahkan perasaannya disamping berhibur. Alat muzik perkusi tentunya mudah dimainkan dan semua pelajar dapat mengambil bahagian tanpa kecuali. Di samping itu, permainan alat perkusi juga membantu membina koordinasi gerakan anggota badan murid. Dalam permainan alat perkusi murid berpeluang meneroka kreativiti mereka. Seterusnya permainan alat perkusi secara ensembel memupuk semangat kerjasama dan toleransi, disiplin, dan rasa tanggung jawab. Oleh yang demikian, guru hendaklah memastikan semua murid berpeluang memainkan alat perkusi. Antara matlamatnya ialah menyemai rasa cintakan irama (cultivating a feeling for rhythm). Selain itu, matlamatnya adalah untuk membantu kanak-kanak mengetahui dan menghargai muzik dimana kebanyakkan mereka tidak dapat peluang belajar bermain muzik secara formal. Matlamat yang seterusnya pula adalah kanak-kanak dilatih untuk mengenali bunyi dan nilai bunyi pastinya akan menyedarkan kanak-kanak betapa kreatifnya pencipta lagu dan seterusnya akan membuatkan mereka menghargai nilai seni bunyi. Antara matlamat yang lain pula adalah membolehkan kanak-kanak melalui latihan aural dan membaca muzik, mereka dapat menghayati dan menghargai hasil karya muzik seterusnya memajukan diri mereka dalam bidang muzik. Melalui pembelajaran alat muzik perkusi juga, terdapat tiga aspek yang dapat dicapai iaitu dari aspek pendengaran, daya ingatan dan mata atau penglihatan kanak-kanak. dari aspek pendengaran, kanak-kanak dapat mengenalpasti rangkai lagu, imbangan bunyi, tekanan bunyi, bentuk irama seterusnya menjadi lebih sensitif kepada bunyi dan sentuhan bunyi. Dari aspek daya ingatan pula, kanak-kanak dapat menyerap tema malah keseluruhan lagu melalui latihan muzikal. Dan yang seterusnya pula adalah dari aspek penglihatan adalah mata kanak-kanak boleh dilatih untuk membaca dengan lancar malah boleh lebih pantas dari sebutan. 1.3 RASIONAL DIPERKENALKAN ALAT MUZIK PERKUSI BAGI PRASEKOLAH. Permainan alat muzik melatih pelajar dalam koordinasi mata, pendengaran dan psikomotor melalui penglibatan pelajar dalam kegiatan permainan alat muzik. Bidang ini menggalakkan murid meneroka dan mengeksperimen pelbagai alat muzik termasuk penggunaan anggota tubuh badan mereka. Seterusnya kegiatan dalam bahagian ini memberi latihan asas untuk pendengaran secara selektif, teknik permainan alat dan kreativiti melalui improvisasi susunan bunyi. Pelajar berpeluang merasai hasilan bunyi melalui penglibatan mereka bermain alat muzik. Di dalam bidang permainan alat muzik, terkandung amalan bekerjasama yang berlaku di dalam kegiatan permainan alat secara ensemble. Konsep muzik yang ditegaskan di dalam permainan alat muzik ialah corak irama, warna ton, melodi dan ekspresi. Kebanyakan alat muzik yang digunakan di dalam permainan alat muzik secara ensemble ini ialah alat perkusi, melodian, rekoder dan pilihan beberapa alat muzik tradisional tempatan yang difikirkan sesuai. 1.4 KEPENTINGAN DIPERKENALKAN ALAT MUZIK PERKUSI BAGI PRASEKOLAH. Terdapat beberapa kepentingan diperkenalkan alat muzik perkusi bagi prasekolah. Antaranya adalah penggunaan alat muzik perkusi dapat melatih murid dalam koordinasi mata dan tangan. Selain itu, penggunaannya dapat menggalakkan kanak-kanak meneroka pelbagai alat muzik dan seterusnya dapat memupuk semangat ingin tahu di kalangan mereka. Penggunaan alat muzik perkusi juga dapat melatih pendengaran kanak-kanak supaya lebih peka. Di samping itu juga, dengan menggunakan alat muzik perkusi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat mempelbagaikan P&P supaya lebih menarik dan menyeronokkan. Kepentingan yang seterusnya pula adalah kanak-kanak berpeluang mempelajari teknik dan cara bermain alat muzik. Hal ini dapat mengembangkan kreativiti mereka melalui improvisasi susunan bunyi. Selain itu juga, kepetingan yang lebih penting adalah penggunaan alat muzik perkusi di pra sekolah dapat memupuk amalan bekerjasama (bermain alat muzik bersama-sama) atau kemahiran sosialisasi. 2.0 KRITERIA YANG HARUS DIBERI PERHATIAN DALAM PEMILIHAN ALAT PERKUSI BAGI SETIAP GUBAHAN ALAT PERKUSI. Semasa hendak memilih alat muzik perkusi bagi sesuatu gubahan lagu, beberapa kriteria harus diberi perhatian. Antaranya adalah kesesuaian pemilihan alat muzik berkenaan dengan skor gubahan yang dicipta. Hal ini adalah kerana alat muzik yang mempunyai bunyi getaran yang lama hanya sesuai untuk not yang mempunyai nilai satu atau dua, contohnya dram atau kerenceng. Bagi kastenet pula, ianya hanya sesuai untuk not yang mempunyai setengah nilai. Selain itu juga, pemilihan alat muzik perkusi juga harus menitikberatkan aspek harmoni bagi setiap gubahan alat perkusi. Kaedah cuba jaya harus diamalkan bagi menghasilkan gubahan yang harmoni. Perkara ini juga adalah untuk menyeimbangkan bunyi yang dihasilkan alat muzik perkusi dengan rentak dan irama lagu yang sebenar. Kriteria yang seterusnya pula adalah guru perlu memilih tajuk dan tema yang bersesuaian dalam memilih alat muzik perkusi untuk pengajaran bagi setiap gubahan alat perkusi. Ini adalah supaya kanak-kanak berasa seronok untuk memainkan alat perkusi dengan baik. Kriteria yang terakhir adalah guru harus merancang berdasarkan pengalaman kanak-kanak. Hal ini adalah agar kanak-kanak mudah memainkan alat perkusi berdasarkan pengalaman sedia ada mereka. Dalam permainan alat perkusi juga, murid-murid diberikan peluang belajar membaca skor perkusi yang terancang. Mereka dapat belajar beberapa perkara seperti menunggu giliran mengikut skor, menyebut menepuk dan mengetuk bersama-sama, memainkan alat dan berhenti mengikut arahan, mula dan berhenti bersama-sama mengikut skor muzik serta dapat merasai situasi bermain seperti sebuah orkestra yang penuh dengan peraturan dan disiplin. 3.0 PROSES PENJAGAAN DAN MEMBAIK PULIH ALAT-ALAT MUZIK PERKUSI DI PRA SEKOLAH. Seseorang guru itu bertanggungjawab penuh terhadap alat-alat muzik perkusi yang terdapat di pra sekolahnya. Hal ini kerana kanak-kanak seawal lima dan enam tahun masih belum cukup matang untuk memikirkan bagaimana untuk menjaga alat-alat muzik perkusi tersebut. Nescaya itulah, guru seharusnya memberi pendedahan kepada kanak-kanak tersebut tentang cara-cara penjagaan dan membaik pulih alat muzik perkusi yang terdapat di pra sekolah. Sebagai contoh, guru perlu mendedahkan cara-cara penyimpanan alat yang betul dan juga cara-cara penggunaan alat muzik yang betul kepada kanak-kanak. Selain itu juga, susunan alat-alat muzik haruslah teratur dan kemas. Guru seharusnya menempatkan alat-alat muzik perkusi di satu tempat khas dan diasingkan mengikut jenis-jenisnya dengan menggunakan label nama setiap alat muzik. Hal ini adalah untuk memudahkan pengambilan semasa hendak menggunakannya dan juga penyimpanan semula setelah menggunakannya. Guru juga perlu memantau murid-murid mengambil alat muzik perkusi dengan mengarahkan mereka mengambilnya mengikut kumpulan dan mengikut jenis alat muzik perkusi bagi mengelakkakn mereka berebut. Perkara ini dapat mengelakkan kerosakan alat muzik seperti patah atau pecah sekiranya berlaku perebutan semasa hendak mengambil alatan. Alat-alat muzik tersebut juga perlu disimpan di tempat yang jauh dari sumber air dan cahaya seperti di tepi tingkap. Hal ini kerana sekiranya alat muzik perkusi tersebut terdedah kepada air hujan contohnya dan cahaya matahari, alat-alat muzik tersebut akan cepat mereput dan berkarat. Ini menyebabkan jangka hayat sesuatu alat muzik itu tidak lama. Untuk proses membaik pulih sesuatu alat muzik perkusi yang sudah rosak, guru boleh melakukannya sendiri atau menghantarnya ke kedai untuk membaik pulih kembali alat muzik perkusi berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya kayu tik-tok telah buruk guru boleh menyapukan sedikit ‘varnish’ untuk menampakkannya kelihatan baru. Untuk mengelakkan kerosakan kayu tik-tok, guru seharusnya mengingatkan kepada kanak-kanak cara yang betul untuk memainkannya. Guru harus mengingatkan kanak-kanak agar mengetuk dengan cara yang betul dan menggunakan pengetuknya yang telah dikhaskan, bukan mengetuknya sesuka hati menggunakan pengetuk alatan muzik lain atau menggunakan besi untuk mengetuknya. Kanak-kanak juga harus diingatkan agar tidak mengetuk kayu tik-tok terlalu kuat, cukup sekadar apabila bunyinya sudah terhasil. Bagi kastenet pula, guru juga seharusnya menunjukkan cara bermain yang betul kepada kanak-kanak. Kanak-kanak perlu ditegah daripada bermain-main dengan talinya seperti meleraikan talinya atau meregang-regangkan tali yang terdapat pada kastenet tersebut kerana bimbang talinya rosak. Sekiranya ini berlaku, guru sendiri boleh menggantikannya dengan tali yang baru atau menghantar ke kedai yang menjual alat muzik perkusi untuk menggantikannya dengan tali yang baru. Contoh yang seterusnya pula adalah dram. Guru perlu menunjuk cara menggunakan
dram yang betul kepada kana-kanak untuk mengelakkannya daripada rosak. Cara membawa dan memegang dram juga tidak seharusnya dipandang remeh. Dram tidak boleh sesekali digolekkan atau dicampakkan ke lantai kerana akan menyebabkannya pecah. Kanak-kanak harus diingatkan agar mengetuk dram dengan cara yang betul dan pengetuknya sendiri, bukan mengetuknya dengan menggunakan alatan lain seperti batang besi. Hal ini kerana ia akan merosakkan bunyi asal dram tersebut. Bagi loceng dan kerenceng pula, oleh kerana kedua-dua bahannya adalah bersumberkan besi ia tidak seharusnya didedahkan kepada sumber air dan cahaya. Hal ini adalah kerana ia akan memudahkan kedua-dua alat muzik perkusi ini berkarat. Sekiranya alat muzik ini berkarat, bunyi yang terhasil juga akan rosak.

No comments:

Post a Comment